Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)

BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) merupakan satu bahagian baru di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang ditubuhkan rentetan daripada permasalahan pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah. Menyedari keruncingan masalah pengabaian perintah Mahkamah Syariah berkaitan pembayaran nafkah anak / eddah, maka Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali ke 46 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi telah bersetuju untuk mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)

 

FUNGSI DAN PERANAN BSK

1. Memberikan Khidmat Nasihat Perundangan kepada pihak-pihak secara khusus berkaitan tuntutan nafkah serta tatacara penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman selepas suatu perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

2. Melaksanakan tugas Peguam Syarie dan Bailif dalam pelaksanaan penghakiman dan penguatkuasaan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah berkaitan dengan nafkah bagi memastikan sesuatu perintah dapat dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua pihak.

3. Menguruskan bantuan kewangan sementara melalui tapisan kelayakan untuk pertimbangan Jawatankuasa Akaun Amanah bagi membantu Pemiutang Penghakiman terutamanya isteri dan anak-anak.


OBJEKTIF SBSK :

1. Memastikan kepentingan golongan yang berhak menerima nafkah melalui perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah terpelihara;

2. Menyelesaikan dan mengenalpasti masalah pemiutang/penghutang penghakiman terutama yang melibatkan nafkah dan seumpamanya;

3. Mengatasi masalah isu kelewatan dalam pengendalian kes-kes penguatkuasaan perintah kehakiman; dan

4. Memelihara hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terbabit di dalam institusi kekeluargaan.

VISI


"Berusaha menjadikan SBSK sebagai sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi membantu sistem pengukuhan kekeluargaan Islam ke arah pengwujudan masyarakat penyayang, penduduk berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif"


MISI

"SBSK komited untuk bertindak sebagai agensi utama dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang rakyatnya mengutamakan sistem kekeluargaan berlandaskan ajaran Islam, berperibadi mulia hasil daripada keluarga yang kukuh, berakhlak, sihat, berilmu dan harmoni"

 

UNIT-UNIT SEKSYEN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (SBSK)

 

UNIT KHIDMAT NASIHAT PERUNDANGAN

1. Memberikan nasihat perundangan kepada pihak-pihak setelah mendapat aduan daripada Pengadu (bekas isteri / Isteri) atas ketidakpatuhan Perintah Mahkamah Syariah dalam perkara berkaitan Nafkah anak / Nafkah Eddah /Nafkah  Semasa (Berpoligami).

2. Mengeluarkan Notis kepada pihak-pihak (bekas suami / bapa kepada anak) untuk hadir ke unit ini bagi tujuan siasatan.

3. Menjalankan sesi Mediasi / Runding Cara kepada pihak-pihak dalam usaha untuk mendapatkan persetujuan pihak-pihak dalam pelaksanaan perintah nafkah yang telah diperintahkan oleh mahkamah.

4. Membuat Perjanjian Persetujuan hasil daripada Mediasi dan perjanjian tersebut akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan seterusnya akan diendoskan di hadapan Hakim Syarie.


UNIT PENGUATKUASAAN & PELAKSANAAN PERINTAH

1. Menyediakan pliding kes untuk pendaftaran kes Penguatkuasaan di Mahkamah.

2. Memutuskan bentuk pelaksanaan yang akan dikenakan kepada Penghutang Penghakiman (bapa/bekas suami yang ingkar perintah) di Mahkamah.

3. Melaksanakan Waran Tangkap ke atas Penghutang Penghakiman, mengendalikan Penyitaan dan Penjualan, Hiwalah dan lain-lain prosedur yang diarahkan oleh pihak Mahkamah.

4. Bertindak sebagai Bailif bagi menjalankan kaedah-kaedah penguatkuasaan dan melaksanakan perintah penguatkuasaan.

5. Menjalankan siasatan ke atas Penghutang Penghakiman.


UNIT PENGURUSAN DANA

1. Menyalurkan bantuan pendahuluan nafkah kepada mereka yang layak.

2. Mengemukakan pihak-pihak yang difikirkan layak menerima bantuan kepada Jawatankuasa Akaun Amanah untuk pertimbangan dan kelulusan.

3. Pendahuluan tersebut akan dibayar selama 6 bulan mengikut amaun yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlah Pelawat 1,290,016
Kemaskini : 06 Dec 2025
ATAS