DALAM MAHKAMAH
TINGGI SYARIAH DI MALAYSIA
DI WILAYAH
PEPRSEKUTUAN, KUALA LUMPUR
PERMOHONAN NO.
14100-070-0011-2022
ANTARA
WAN MAZILA BINTI WAN ABAS
…PEMOHON
(NO.K/P: 600603-11-5034)
DENGAN
MOHD JEFFEREY BIN ABDULLAH …RESPONDEN
(NO.K/P: 550317-86-5069)
KEPUTUSAN DAN
ALASAN PENGHAKIMAN
(PERMOHONAN
UNTUK MENGHIDUPKAN SEMULA KES YANG DIBUANG (MUTA’AH)
1. Isu yang dibangkitkan oleh Pemohon - Memohon kes Harta
Sepencarian No. 14300-017-0030-20200 yang telah dibuang oleh Hakim Mahkamah
Tinggi pada 6hb Mei 2020 dihidupkan semula dengan alasan:-
(a)
Pemohon dan peguam syarie
pemohon tidak mendapat notis makluman tarikh/notis tangguhan tarikh dari
Mahkamah.
(b)
Pejabat Firma Guaman Peguam
Syarie Pemohon telah berpindah dari Bandar Puteri Bangi ke Taman Melawati,
Kuala Lumpur.
(c)
Kengkangan dalam tempoh
masa PKP dan SOP yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia yang menyebabkan
gangguan komunikasi/hubungan antara Peguam Syarie dengan Mahkamah berhubung
dengan tarikh-tarikh tangguhan yang ditetapkan.
2. Manakala Responden membantah permohonan ini dengan alasan:-
(a)
Peguam Pemohon telah tidak
hadir/gagal hadir/cuai hadir tanpa makluman pada 14hb Julai 2020, pada 8hb Ogos
2020 dan pada 6hb Mei 2020.
(b)
Permohonan ini
memperjudiskan/menyusahkan semua pihak termasuk hakim dan Responden.
3. Umumnya mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia telah mengumumkan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18hb Mac 2020 di mana semua sektor di
dalam Malaysia tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor essential. Fasa
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia adalah seperti berikut:-
(a) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0
18hb Mac 2020 – 3hb Mei 2020 dan dikuatkuasakan dalam
empat fasa.
(b) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0
(c) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
4. Bermula pada peringkat ini, kebanyakan sektor perkhidmatan awam
mengalami gangguan perkhidmatan dan usaha untuk mengatasinya demi kepentingan
awam giat difikirkan. Khusus bagi sektor awam di dalam negara mencari jalan
untuk mengurangkan ganggunan ini secara minima termasuklah di dalam sektor
perundangan.
5. Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan secara alternatifnya
mempergiatkan usaha mencari jalan supaya Penyampaian Perkhidmatan Awam tidak
terganggu terlalu lama. Kaedah bicara secara online diperkenalkan, menghadkan
bilangan kehadiran ke Mahkamah, meningkatkan kapasiti pertemuan secara
temujanji, dan lain-lain usaha dijalankan.
6. Dalam beberapa tempoh PKP 1.0 , 2.0, dan 3.0 Mahkamah mengakui
telah berlaku gangguan perkhidmatan tertutamanya bagi kes-kes yang sedang berjalan,
kes-kes sedang dibicarakan dan kes-kes yang memerlukan kepada tindakan segera.
7. Perkara ini tidak dapat tidak untuk dinafikan kerana ianya
berlaku kepada semua sektor awam dan swasta secara menyeluruh seluruh negara.
8. Di dalam kes ini, mahkamah melihat kepada perkara yang
dibangkitkan dan mendapati isu persoalan yang menjadi pertikaian adalah berada
di dalam tempoh Perintah Kawalan Pegerakkan (PKP).
9. Tidak dapat tidak, isu komunikasi antara mahkamah, peguam syarie
dan para pelanggan berlaku dalam tempoh tersebut yang menyebabkan berlaku
beberapa indikasi di dalam perundangan.
10. Dalam kes ini, pemohon memohon supaya kesnya yang telah
dibuang/dibatalkan/ditolak untuk dihidupkan semula dengan alasan yang telah
dinyatakan di atas. Sukacitanya mahkamah merujuk kepada:-
Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1998
Sek. 209.
Kuasa Hakim. – (4) Ketua Hakim Syarie boleh, atas permohonan mana-mana pihak
atau mengikut budi bicaranya memerintahkan mana-mana mahkamah supaya
menghidupkan semula mana-mana kes yang telah ditolak.
11. Oleh yang demikian itu, melalui peruntukkan yang disebut di
atas, tiada isu bidangkuasa yang perlu dibangkitkan.
12. Di dalam afidavit
permohonan Pemohon, dan di dalam hujah bertulis Peguam Syarie Pemohon yang difailkan,
menyebutkan bahawa Peguam Syarie Pemohon tidak mendapat notis/makluman
tarikh-tarikh yang telah diberikan oleh mahkamah. Sekali lagi, atas budi bicara
mahkamah dan berkenaan faktor tempoh PKP, mahkamah dapat menerima alasan
Pemohon secara munasabah. Walaubagaimanapun, suka mahkamah mengingatkan kepada
Peguam Syarie Pemohon supaya lebih bertanggungjawab untuk membuat pemakluman
kepada mahkamah jika berlaku perubahan alamat firma guaman atau alamat Pemohon.
13. Peguam Syarie Responden di dalam hujah balas dan Afidavit
Jawapan Responden menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan permohonan
Pemohon dengan alasan memperjudiskan/menyusahkan semua pihak termasuk hakim,
mahkamah dan khususnya Responden.
14. Merujuk kepada perkara ini, mahkamah melihat khusus kepada kes
ini, iaitu kes untuk menghidupkan semua kes Harta Sepencarian yang telah
dibuang/ditolak pada 6hb Mei 2021. Keadilan sebenar bagi keseluruhan kes ini
adalah tentang kes harta sepencarian dan perkara-perkara yang berkaitan
dengannya seperti:-
(a) Harta pihak-pihak yang dipertikaikan.
(b) Harta pihak-pihak yang wujud dalam tempoh perkahwinan.
(c) Takat sumbangan kewujudan harta yang dipertikaikan.
(d) Status hak kepunyaan harta yang dipertikaikan.
(e) Status hutang, liabiliti hutang, status pengoperasian harta yang
menjadi pertikaian.
(f) Status harta kepunyaan mutlak.
(g) Dan lain-lain.
15. Jesteru, apa yang disebutkan di atas adalah sebahagian contoh
fakta dan isu yang sebenar yang perlu diberi perhatian dan lebih penting untuk
keadilan kepada pihak-pihak. Jika tidak, ianya boleh mendatangkan kemudharatan
yang lebih besar kepada pihak yang berkepentingan.
16. Demikianlah ini maksud yang lebih tepat, jika merujuk kepada
Hujah Bertulis Responden sendiri di dalam perenggan 3.9. (Kami merujuk
kepada kaedah fiqh yang berbunyi “Kemudharatan yang berat dihilangkan dengan
kemudharatan yang lebih ringan” atau “jika bercanggah antara dua keburukan,
maka hendaklah diambilkira yang mana lebih besar kemudharatan di antara
kedua-duanya dengan dilakukan kemudharatan yang lebih ringan”.) (yang
ditandakan oleh Responden sebagai RS-2)
17. Dalam kes Raqisyah
Misha binti Abdullah lwn Majlis Agama Islam Selangor (kes yang tidak
dilaporkan, Permohonan No. 10600-070-0037-2016) kata-kata hakim bicara
dalam memutuskan dalam pertimbangan sama ada untuk meluluskan atau sebaliknya
telah berkata:
“Mahkamah dalam membuat keputusan bukan sahaja
melihat kepada kausa sedia ada yang diberikan untuk menghidupkan kes, namun
melihat juga kepada keperluan sesuatu kes itu dihidupkan”
“walau bagaimanapun, Mahkamah melihat ada merit pada
kes ini kerana ia melibatkan status agama Islam dan Mahkamah memberi peluang
yang terakhir kepada Pemohon untuk menyelesaikan kesnya”.
18. Oleh yang demikian, dalam
kes ini juga, mahkamah berpendapat wajar diberi perhatian kepada keadilan bagi
Pemohon untuk membicarakan semula kesnya bagi tuntutan Harta Sepencarian di
mana ianya juga membuka ruang keadilan kepada Responden untuk membuat tuntutan
balas jika ada. Malah, jika keputusan kes tersebut masih dirasakan tidak adil
oleh mana-mana pihak, maka ruang untuk mengemukakan rayuan tetap dijamin oleh
undang-undang melalui Mahkamah Rayuan Syariah.
19. Firman Allah dalam surah an-Nahlu, ayat 90:
“Sesungguhnya
Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada
kaun kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan
mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini),
supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”.
20. Peruntukkan bagi menghidupkan semula kes, perlu dilihat sebagai
peluang untuk mencapai keadilan dan mengelak kezaliman. Melalui perbicaraan
penuh, dengan keterangan pihak-pihak, peluang untuk mengemukan bukti, saksi,
dokumen dan lain-lain keterangan merupakan islah kehakiman Islam yang sebenar.
21. Dalam kes Mohd Syaheed bin Abdul Halim lwn Nur Agnes Linda
binti Andrew Bowgel (kes yang tidak dilaporkan) di Negeri Selangor juga
wajar dirujuk sebagai satu kes yang menunjukkan Mahkamah Syariah memberi
peluang untuk dihidupkan semula setelah rayuannya ditolak dengan sebab
ketidakhadiran Pemohon akibat pendemik Covid-19. Mahkamah meluluskan permohonan
Pemohon dalam kes tersebut untuk menghidupkan semula kes rayuannya setelah
mempertimbangkan pendemik yang melanda negara.
22. Selain itu, mahkamah jugak ingin merujuk kepada Hujah Bertulis
Pemohon no. 51 sehingga 55 yang membangkitkan isu aplikasi pemakaian seksyen
121 (Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.
Berkenaan isu sumpah istizhar.
* Mahkamah mendapati di dalam
perenggan 53 Hujah Bertulis Pemohon, ada menyebut Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (dan beberapa lagi di dalam tajuk
dan perenggan-perenggan yang lain) yang mahkamah dengan budi bicara menganggap
ini sebagai kesalahan tata ejaan Peguam Syarie Pemohon. Nasihat mahkamah untuk
lebih berhati-hati dan hendaklah mengurangkan kesilapan tata penggunaan
peruntukkan di lain kali.
23. Mahkamah telah merujuk
kepada kes 14300-017-0030-2020 dan telah merujuk kepada Penyataan Pembelaan
Defendan (Responden) dan didapati tiada Tuntutan Balas (kertas kausa)
di-plid-kan. Pada hemat mahkamah, maka tiada khilaf oleh YA Tuan Hakim Mahkamah
Tinggi (Hakim Bicara) berkenaan untuk tidak memanggil Dengan (Responden) untuk
bersumpah istizhar.
24. Seterusnya mahkamah juga merujuk kepada Arahan Amalan No. 12
Tahun 2005 dan memetik kandungannya:-
Saya ingin
menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah
Syariah seluruh Malaysia Bi. 1 Tahun 2005 pada 10hb-12hb April 2005 bersamaan
1hb-3hb Rabiulawal 1426H di Shah Alam, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan
untuk menerima pakai arahan amalan mengenai prosedur menghidupkan semula kes
yang telah dibuang atau ditolak sebelum selesai iaitu seperti berikut:-
(i)
Pemohon hendaklah mengemukakan Permohonan untuk menghidupkan semula kes beserta
afidavit sokongan;
(ii)
Mahkamah dalam hal ini hendaklah memberikan nombor dan kod kes yang baru kepada
kes yang dihidupkan semula itu pada fail kes yang sama.
25. Mahkamah meneliti kepada keselurahan kertas kausa, tindakan dan
prosedur, mahkamah mendapati kes ini adalah teratur seadanya yang
diperuntukkan.
KEPUTUSAN
SETELAH MAHKAMAH melihat dan meneliti
Permohonan dan Afidavit Pemohon, Afidavit Responden dan Hujah kedua-dua pihak,
SERTA dokumen-dokumen dan autoriti-autoriti yang dikemukakan, MAKA MAHKAMAH
berpuashati DAN memerintahkan seperti berikut:-
(a)
Mahkamah meluluskan
permohonan Pemohon untuk menghidupkan semua kes Saman No: 14300-017-0030-2022,
berdasarkan peruntukan seksyen 209 (4) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.
(b)
Mahkamah
memerintahkan agar ditetapkan satu tarikh baru bagi meneruskan prosiding kes
tersebut di Mahkamah yang berbidangkuasa.
Bertarikh pada:
KETUA HAKIM SYARIE
MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH
PERSEKUTUAN.